Gambar hiasan.

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas terjatuh dari tingkat dua rumahnya di Pangsapuri Taman College Height di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kejadian kira-kira 9.20 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak berusia empat tahun berkenaan dipercayai berada bersama seorang adik perempuannya berusia tiga tahun, manakala ibu bapa mereka tiada di rumah.

“Berdasarkan pemerhatian, tingkap rumah itu tidak berkunci dan tiada jeriji. Ketika tiba, anggota polis lihat saksi memangku kanak-kanak itu yang dalam keadaan sedar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu yang cedera pada dagu dan patah tulang paha kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di sini, manakala polis akan merekodkan keterangan ibu bapanya untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mohamad Hatta sehubungan itu menasihati ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak-anak yang masih kecil bersendirian di rumah walaupun hanya sebentar. — BERNAMA