Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (Tengah, kira baju batik) menerima Sijil National Depositary Authority (NDA) yang disampaikan oleh oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

PETALING JAYA – Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) telah diiktiraf sebagai National Depositary Authority (NDA) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024, hari ini.

Menurut Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, penghargaan ini  satu tanggungjawab besar dalam memperkasakan peranan UPM-MCC di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ini menunjukkan kehebatan Institut Biosains (IBS) UPM sebagai Program Pusat Kecemerlangan Tinggi (HICOE) dan saya berharap pihak universiti berjaya mengubah senario negara dalam memelihara sel-sel kultur untuk kegunaan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah IBS UPM, Prof. Dr. Zunita Zakaria berkata, UPM-MCC merupakan pusat penyimpanan koleksi kultur mikrob yang pertama di Malaysia.

“Pengiktirafan ini akan membantu kami untuk memenuhi salah satu syarat pemfailan paten berkaitan mikroorganisma di Malaysia kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Secara tidak langsung, UPM-MCC dapat diperkasakan sebagai pusat penyimpanan koleksi kultur utama di UPM dan meningkatkan kualiti penyelidikan di Malaysia,” ujar Zunita lagi.

MyIPO telah mewartakan UPM-MCC sebagai NDA yang pertama di Malaysia secara rasmi pada 27 Mac yang lalu.

Koleksi yang sebelum ini dikenali sebagai Unit Koleksi Kultur Mikrob (UNICC) merupakan salah satu unit strategik di bawah IBS untuk melaksanakan perkhidmatan menyokong aktiviti penyelidikan. – MalaysiaGazette