Pengasas KK Mart Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyinggung perasaan umat Islam berikutan penjualan stoking yang mempunyai kalimah Allah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan akan mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas pertuduhan yang dikaitkan dengan stoking tertera kalimah Allah.

Turut sama mengemukakan representasi ialah isteri beliau yang merupakan Pengarah KK Mart, Datin Seri Loh Siew Mui.

Perkara itu disahkan ketika prosiding sebutan yang dihadapi pasangan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Muhamad Anas Mahadzir.

Menurut peguam bela pasangan itu, Datuk Rajpal Singh, anak guamnya telah mengarahkan beliau untuk memfailkan surat representasi dalam tempoh seminggu dua ini.

“Kita ada masa sehingga sebulan sebelum pengurusan kes pada 10 Jun nanti. Kita perlu masa teliti dokumen yang akan diserahkan oleh pendakwaan sebelum cari jalan terbaik sediakan surat representasi,” katanya.

Rajpal berkata, mahkamah akan berbincang dengan peguam yang mewakili syarikat pembekal stokin, Xin Jian Chang Sdn Bhd, dan tiga pengarahnya yang turut didakwa berhubung penyediaan surat representasi itu.

Representasi merupakan permohonan penarikan balik atau untuk menurunkan atau mengurangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan dokumen diperlukan kepada pihak pembelaan dan kes dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes dan status representasi.

Sebelum ini, pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah dan mohon dibicarakan pada 26 Mac lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast