Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap kepada media selepas melawat tapak porjek naik taraf ubahsuai dan pemuliharaan bangunan Mahkamah Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 30 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Tiada sebarang perbincangan dibuat dengan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Terengganu berhubung pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di tempat terbuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan hukuman itu memerlukan penglibatan pebagai agensi daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pelaksanaan perlu melibatkan bantuan daripada agensi-agensi pusat. Mungkin senang hanya menyatakan ingin melakukan hukuman dalam aspek jenayah syariah tetapi pelaksanaan itu.

“Kerana kalau tahanan masih di bawah bidang kuasa PDRM (Polis Diraja Malaysia), kalau nak melakukan tahanan nak meletakkan dalam penjara pun masih Penjara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat projek naik taraf, ubah suai dan pemulihan bangunan mahkamah, di sini, hari ini.

Menurut Azalina, cadangan itu tidak mudah untuk dilaksana kerana memerlukan rombakan undang-undang secara menyeluruh.

“Pelaksanaan masih di peringkat kerajaan pusat yang memerlukan rombakan menyeluruh daripada undang-undang sedia ada daripada segi penguatkuasaan.

“Siapa ingin membuat pelaksanaan sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai polis atau penjara sendiri?,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan kerajaan negeri Terengganu sedia mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di tempat terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penelitian sedang dilakukan dengan mengambil kira perkembangan semasa. – MalaysiaGazett