Pelancong India dilaporkan hilang tanpa maklumat sejak 20 Februari lalu di ibu negara.Sumber IPK Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Polis menagih bantuan orang ramai untuk menjejaki seorang pelancong warga asing India, Shaik Mohamed Abdul Alif, yang dilaporkan hilang di ibu negara sejak 20 Februari lalu.

Pegawai Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Inspektor Mazliyana Abd Latiff berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan mengenai kehilangan lelaki berusia 41 tahun itu pada 22 Februari lalu.

Menurutnya, Shaik Mohamed kali terakhir dilihat berada di Hotel M Palace, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

“Sebelum hilang lelaki itu memakai pakaian berbaju lengan panjang berwarna kuning cair yang bercorak bunga hitam serta berkain sarung berwarna biru,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Shaik Mohamed diminta menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26912222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau menyalurkannya di balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette