Sebahagian pelatih dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kompleks Penyayang Kuantan menerima pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada kerajaan negeri

KUANTAN – Komuniti orang kurang upaya (OKU) termasuk pelatih dan pertugas Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Pahang tidak tercicir daripada agenda kerajaan negeri.

Seramai 1,416 pelatih PDK daripada 53 Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri ini selesai menerima sumbangan sebanyak RM200 seorang menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Menurut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang, seramai 271 penyelia dan petugas di semua PDK terbabit menerima insentif RM500 bagi kluster kebajikan itu.

Agihan yang bermula sejak 2 April itu dibuat mengikut penempatan PDK masing-masing dan ia dilakukan secara berperingkat.

Ibu kepada pelatih di PDK Kompleks Penyayang Kuantan, Haliza Hassan, 44, menyifatkan pemberian tersebut merupakan nikmat sempena Syawal yang masih diraikan.

”Saya sangat bersyukur dan terharu dengan kerajaan negeri Pahang atas ingatan tulus ikhlas sempena Hari Raya Aidilfitri terhadap anak-anak istimewa kami di PPDK KP.

”Bantuan raya dan duit raya dapat membantu anak istemewa dan kami sekeluarga, sangat bermakna membantu membeli keperluan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Haliza Hassan bersama anaknya Nurin Sabrina Sabri

Ibu kepada Nurin Sabrina Sabri berharap pemberian tersebut terus dilaksanakan pada masa depan dengan lebih banyak penerima.

Pada pembentangan Belanjawan Pahang 2024, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program membantu rakyat sedia ada seperti BPP dengan peruntukan RM38.08 juta.

Penyelia PPDK KP, Zahariah Azahar berkata, pemberian tersebut membantu kesemua petugas yang berkhidmat dan ia merupakan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap mereka.

”Alhamdulillah BPP kepada penyelia, petugas dan pelatih PPDK Kompleks Penyayayang disempurnakan oleh wakil rasmi MB sendiri. Terima kasih juga atas sumbangan duit raya kepada anak- anak.

Zahariah Azahar

”Ini kali kedua pemberian daripada Menteri Besar kepada kami. Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi maafaat kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette