Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung ketika Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Jabatan Imigresen tidak mengambil hati dengan tegurannya berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara.

Beliau berkata, teguran itu ibarat ‘kasih kepada anak’ bagi menambahbaik Jabatan Imigresen susulan lonjakan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

“Kadang-kadang kita tegur macam kasih kepada anak, jadi jangan ambil hati, dalam semangat hari raya ini, maaf zahir dan batin, saya harap Imigresen maafkan.

“Bukan apa, jumlah pelancong itu naik mendadak, Malaysia menjadi tarikan dan beberapa bulan awal (tahun ini), mencecah peningkatan 80 peratus dan tentunya menjadi tekanan kepada agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Anwar, pelancong tidak akan menerima sebarang alasan di atas kelewatan kerana terpaksa menunggu lama meskipun ada alasan diberikan.

“Ini saya harap dapat ditambah baik dengan harapan dapat diperbaiki. Bagaimanapun saya akan hadir meraikan Imigresen pada majlis Aidilfitri mereka Isnin ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui masih banyak ruang perlu diperbaiki di pintu masuk negara.

Ujar beliau, pihaknya hampir setiap hari berbincang untuk mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

“Saya yakin dalam masa terdekat ini ada beberapa pengumuman game changer yang kita buat, tujuannya untuk memudahkan ketibaan pelancong dalam negara supaya tak perlu bersesak-sesak.

“Kita akui ada limitasi tetapi tekad kami tidak ada benda yang tak boleh diikhtiar jalan keluar, teguran, asakan berterusan Datuk Seri (Anwar), kami tak ambil hati sebaliknya kami anggap sebagai cabaran,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau menyebut permasalahan itu bukan untuk berpolitik.

“Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Ruslin Jusoh) kena panggil menghadap Perdana Menteri (baru-baru ini), jadi saya simpati banyak kepada Datuk Ruslin tapi Perdana Menteri pandai, lepas dia asak, dia pujuk balik.

“Jadi, Perdana Menteri akan hadir ke majlis raya KDN dua kali iaitu hari ini dan kedua dalam banyak-banyak agensi, 6 Mei ini, majlis hari raya istimewa Imigresen,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. jangan jadi pegawai emigeresin Singapura sudah lah . pegawai dia cari duit poket menipu pelancong ribuar ringgit dengan janji tipu . pelancong yang ditahan . dijanji akan hantar ketempat dituju syarat bayar duit . bila duit itu diterima dia lupakan janji . manusia sial tak ingat dosa pahala . hidup tak akan berkat weh . tunggu masa kamu akan musnah diri sendiri .

Comments are closed.