N Gobalakrishnan - gambar fail

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan membayar ganti rugi RM150,000 kepada sepasang suami isteri berhubung mesej WhatsApp berbaur fitnah membabitkan dakwaan mereka menipu beberapa ahli perniagaan.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng memutuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak terkhilaf dalam membuat keputusan berkaitan kes saman fitnah tersebut.

Turut bersidang ialah Datuk Che Ruzima Ghazali dan Azhahari Kamal Ramli.

Swee Seng berkata, sememangnya terbukti perayu telah melakukan salah fitnah terhadap juruterbang iaitu S. Selvakumar dan isterinya, R. Indrani yang merupakan bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat cawangan Sungai Siput.

Ketika membacakan keputusan itu, kata Swee Seng, perayu juga tidak membuat sebarang aduan kepada syarikat telekomunikasi andainya nombor telefon itu bukan miliknya ketika insiden fitnah dilakukan melalui mesej WhatsApp.

Mahkamah memutuskan ketiga-tiga mesej defendan melalui WhatsApp pada 4 Jun 2019 adalah bersifat fitnah terhadap pasangan itu.

Dalam pada itu, pasangan tersebut yang diwakili Rueben Mathiavaranam memberitahu, mahkamah telah mengekalkan kos ganti RM150,000 manakala kos tambahan sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap Gobalakrishnan hari ini yang perlu dibayar kepada pasangan tersebut.

Pernyataan tuntutan pasangan itu, yang difailkan pada 7 November 2019 antara lain memohon ganti rugi am, perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menulis atau menyiarkan perkataan berbaur fitnah, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – MalaysiaGazette