Mohamed Khaled (tengah) melakukan lawatan kerja bersama warga Kem Terendak di Wisma Perwira 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT), Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka hari ini

MELAKA – Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka yang baharu akan mula dibina bermula Julai ini menggantikan kemudahan sama yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek 94 HAT itu bakal menelan belanja sebanyak RM325 juta, sekali gus merobohkan hospital sedia ada yang wujud sejak zaman British pada tahun 1964.

“Memang asalnya dahulu ia melibatkan soal menaik taraf, kemudian tambahan bangunan tetapi setelah dilakukan kajian struktur maka didapati adalah lebih baik digantikan dengan membuat hospital baharu.

“Projek ini akan dilaksanakan bermula Julai tahun ini dan dijangka siap pada 2028 dengan peruntukkan sebanyak RM325 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan ramah mesra Aidilfitri di Kem Terendak, Sungai Udang hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Exco Kanan negeri, Datuk Rais Yasin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, apabila siap kelak, 94 HAT akan dilengkapi 150 katil pesakit, perkhidmatan rawatan biasa dan pakar serta pergigian seperti sebelum ini.

“Dalam masa pembinaan ini, kita juga akan memindahkan beberapa perkhidmatan di sini dan ini mungkin akan menyebabkan sedikit ketidak selesaan yang mana kita terpaksa pindahkan beberapa perkhidmatan ke hospital luar.

“Seperti sedia maklum, hospital ini memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada anggota tetapi pesara tentera dan juga orang awam di luar,” katanya.

Pada program itu, beliau turut melawat keadaan penginapan pegawai dan anggota tentera di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). – MalaysiaGazette