Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SEREMBAN – Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat lelaki dipercayai warga asing di sungai berdekatan dengan sebuah stesen minyak di Paroi, di sini pada Sabtu lepas sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa mendapati terdapat kecederaan retak pada bahagian kepala dan patah tulang rahang yang berlaku ketika lelaki itu masih hidup.

“Oleh itu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil dan menghubungi pegawai penyiasat ASP Saufi Malik melalui talian 011-2062 5464 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban 06-6033222 untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mayat lelaki terbabit dijumpai terapung di sungai berkenaan oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada 2.05 petang.

Siasatan awal polis mendapati mayat dalam keadaan berseluar panjang tanpa baju, mempunyai tatu pada lengan sebelah kiri, kanan dan dada selain tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa. – BERNAMA