PETALING JAYA – Seramai 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival 25 Tahun Keadilan yang julung kali diadakan pada 11 Mei ini di Sentul Depot, Kuala Lumpur.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, karnival itu terbuka pada orang ramai bermula jam 9 pagi sehingga 10 malam.
“Sejarah penubuhan parti ini yang bermula dengan pelbagai ujian sehingga mematangkan perjuangan PKR yang akhirnya menjadi sebahagian daripada tampuk pemerintahan negara.
“Karnival ini akan dipersembahkan di dalam bentuk pameran, wacana forum dan lain-lain pengisian sepanjang karnival itu nanti dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan untuk membuka kaunter bergerak bagi memudahkan urusan orang ramai.
“Antaranya, kaunter pembayaran saman, permohonan kad pengenalan, berkaitan hal ehwal pensijilan halal dan lain-lain lagi,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, para pengunjung akan disajikan dengan jualan gerai daripada pelbagai vendor tempatan yang terkemuka.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik bakal dipersembahkan antara lain permainan tradisional rakyat, persembahan buskers lokal dan paling menarik persembahan artis seperti Aisha Retno, Kaka Azraff dan penampilan khas daripada Datuk Zainal Abidin, ujarnya.
Majlis kesyukuran akan diadakan di Masjid Abu Hurairah, Jalan Ipoh pada sebelah malam.
“Buat pendukung dan anggota PKR, satu majlis makan malam turut diadakan dari jam 6.30 petang sehingga jam 10 malam di tempat sama bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota,” ujarnya. – MalaysiaGazette