Foto: Malaysia Rugby Union (MRU)

KUALA LUMPUR – Pasukan ragbi lelaki tujuh sebelah (7s) negara mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2024 selepas menewaskan Singapura A 14-10 pada final yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Bunga Raya 7s bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man meraih kejuaraan itu buat julung kalinya, sekali gus mengubati kekecewaan tahun lepas apabila meraih gelaran naib juara selepas tewas di tangan Taiwan.

Malaysia dan Singapura A turun pada aksi final berbekalkan motivasi tinggi dan rekod tanpa kalah selepas masing-masing merakam tiga kemenangan dalam aksi kumpulan, semalam.

Malaysia bermula baik apabila mendahului 7-5 di separuh masa pertama selepas Muhammad Harith Iqbal Muhammad Anhar melakukan try diikuti conversion Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi namun tuan rumah merapatkan kedudukan hasil try Miguel William.

Anak buah Nik Safuan berjaya meraih try kedua oleh Ahmad Zulhilmi Azizad diikuti conversion yang disempurnakan Muhammad Azwan sebelum Singapura A berjaya mencuri mata di hujung permainan menerusi try Tene Chong.

“Faktor kemenangan hari ini ialah daripada usaha para pemain yang ditunjukkan amat memberangsangkan dan amat mengejutkan saya. Walaupun dalam keadaan persediaan agak singkat mereka mampu menunjukkan prestasi luar biasa.

“Fokus selepas ini adalah persediaan menghadapi Kejohanan Siri Asia 7s pada September dan November akan datang dan menantikan status penganjuran acara ragbi 7s di Sukan SEA 2025 untuk membuat perancangan seterusnya,” kata Nik Safuan kepada Bernama.

Pada pada itu, kategori wanita pula menyaksikan pasukan ragbi wanita 7s negara menamatkan kempen kejohanan dengan membawa pulang pingat gangsa selepas menumpaskan Indonesia 38-5 pada perlawanan tempat ketiga dan keempat.

Juara menjadi milik Thailand yang berjaya mempertahankan gelarannya selepas menjinakkan pasukan tuan rumah 42-0. – Bernama