Pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2021 di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA yang dikendalikan oleh Akademi Penerbangan Layang-Layang terhempas dekat Felda Gunung Besout, Sungkai, Perak hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat yang dinaiki dua orang individu telah berlepas pukul 7.54 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Menurut beliau, Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir di Slim River pukul 9.35 pagi.

“Tindakan susulan telah diambil oleh Pegawai Kawalan Trafik Udara bertugas setelah pesawat gagal melaporkan kedudukan selanjutnya di Bidor.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC diaktifkan pada pukul 10.15 pagi setelah menerima maklumat berkenaan nahas tersebut bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat dan kedua-dua individu berkenaan telah diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazman berkata, siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette