wan saiful wan jan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil perlu bertanggungjawab terhadap kemerosotan kedudukan Malaysia di tangga ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 berbanding nombor 73 tahun lepas.

Demikian kata Ketua Portfolio Kementerian Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan mengulas laporan terbitan Reporters Without Borders (RSF).

Malah beliau menyifatkan perkembangan semasa itu sebagai bukti penipuan Menteri Komunikasi  mengenai jaminan kebebasan media.

“Fahmi tidak boleh dibiarkan memutarbelit kata-kata untuk mencipta alasan kenapa situasi ini berlaku. Fahmi mesti mengambil tanggungjawab dan mengakui bahawa dia telah menjahanamkan kebebasan media di Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Menurut beliau, perkembangan semasa berkenaan membuktikan  jaminan terhadap kebebasan media dalam negara tidak berlaku.

“Jelas sekali janji kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) mengenai jaminan kebebasan media adalah palsu dan kebebasan media hari ini berada dalam keadaan kritikal dan parah.

“Laporan RSF adalah berdasarkan kajian mereka mengenai pencapaian pada tahun sebelumnya. Maksudnya, laporan 2024 ialah mengenai situasi 2023, laporan 2023 ialah mengenai situasi 2022, dan begitulah seterusnya,” katanya.

Pada tahun lalu, katanya, kedudukan Malaysia ditangga Ke-73 merupakan hasil PN.

Wan Saiful mendakwa Fahmi yang berperanan sebagai Menteri Komunikasi sepanjang tahun lalu telah ‘menjahanamkan’ hasil kerja sebelumnya sehingga kedudukan Malaysia merudum begitu teruk apabila menyekat laman media mengkritik kerajaan.

“Sepanjang 2023, kita melihat Fahmi Fadzil memberi pelbagai alasan apabila kerajaan menyekat laman media yang mengkritik kerajaan, antaranya MalaysiaNow, Malaysia Today, TV Pertiwi dan UtusanTV. Kerajaan juga membatalkan pas media rasmi Harakah.

“Bukan setakat itu, pengamal media dan aktivis media sosial ditekan dan ditakutkan dengan tindakan undang-undang sehingga membantutkan kesuburan kebebasan bersuara dalam negara kita,” katanya.

Menurutnya, Fahmi telah memalukan negara kerana kedudukan Malaysia di tangga 107 hanyalah baik sedikit saja berbanding Burundi (108), Mongolia (109) dan Zimbabwe (116).

Terbaharu dilaporkkan, kedudukan Malaysia kini menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).-MalaysiaGazette