Calon bebas, Nyau Ke Xin

KUALA KUBU BAHARU – Calon bebas, Nyau Ke Xin menafikan beliau proksi kepada mana-mana parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu kali ini.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata, beliau tidak ditaja mana-mana individu dan bertanding dengan menggunakan wang simpanan sendiri.

“Tuduhan proksi mana-mana parti itu tidak betul, saya ada buat video di aplikasi TikTok menafikan tuduhan proksi.

“Saya tidak diupah atau menjadi proksi mana- parti malah saya ada buat surat bersumpah di pejabat Pesuruhjaya Sumpah,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran manifesto beliau di minggu kedua kempen PRK Kuala Kubu Baharu hari ini.

Antara manifesto yang ditawarkan kepada pengundi Kuala Kubu Baharu adalah mengkaji secara terperinci masalah perolehan tanah individu dan rumah ibadat.

Beliau juga memastikan harga barang keperluan ruji dan basah sentiasa dipantau dan memastikan kemudahan kesihatan sentiasa ada.

Malah Ke Xin juga berjanji untuk menyediakan pengangkutan khas untuk warga emas bagi mendapatkan khidmat pengangkutan ke hospital dan perkhidmatan van jenazah percuma kepada warga Kuala Kubu Baharu.

Dalam pada itu, Ke Xin juga tidak pernah menganggotai mana-mana parti sebelum ini.

“Saya juga tidak pernah masuk mana-mana parti,” katanya dalam sidang media sama.

Beliau yang merupakan anak jati Sabak Bernam itu berkata, keputusannya menyertai PRK Kuala Kubu Baharu kali ini juga atas dorongan keluarga dan rakan-rakan.

“Saya masuk bertanding PRK guna duit simpanan saya, bukan ditaja mana-mana pihak,” jelas Ke Xin lagi.

Ditanya sekiranya beliau gagal mendapat deposit pilihan rayanya kembali, Ke Xin berkata, ia bukan penghalang buat dirinya untuk menceburi bidang politik.

“Saya akan sedih sebab hilang deposit walaupun hilang tapi ini satu langkah saya masuk dalam politik,” katanya lagi.

Memasuki minggu kedua kempen, Ke Xin mengaku beliau baru bertemu dengan 20 peratus pengundi di Kuala Kubu Baharu dengan mengamalkan kempen bersemuka.

Jelas Ke Xin, ia disebabkan oleh kekangan kerana tidak mempunyai jentera pilihan raya sebagaimana calon-calon PRK  lain.

“Parti lain ada jenteranya, saya kurang sikit sebab tidak ada jentera, cuma ada pasukan kecil untuk buat kempen. Sebagai calon, saya buat sendiri kempen dengan ditemani rakan-rakan saya yang lain,” jelas Ke Xin lagi.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, PRM dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut dan Nyau Ke Xin mewakili Bebas. – MalaysiaGazette