Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berucap pada Ceramah Umum Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2024

KUALA KUBU BAHARU – Pas mengambil pendirian untuk tidak menyentuh mengenai kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab memimpin negeri itu ekoran krisis integriti melanda kepimpinan negeri itu.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, masih terlalu awal untuk komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) membincangkan perkara itu kerana Kerajaan Negeri Perlis pimpinan parti itu masih kukuh memerintah.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk bincang soal perubahan (pentadbiran) kerajaan negeri ini (Perlis). (Sebab) zaman (Kerajaan) Madani ini ada yang dipanggil membela diri pun ada DNAA dan sebagainya.

“Jadi saya rasa kalau kalau nak bincang soal pertukaran Kerajaan Perlis, kami masih terlalu awal serahkan kepada pihak yang berwajib untuk menjalankan siasatan, katanya dalam sidang media di selepas Ceramah Kelompok di Taman Ampang Pechah, malam tadi.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahmad Fadhli berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Abu Bakar yang bersedia menggalas tanggungjawab memimpin negeri Perlis sekiranya wakil parti itu diminta berbuat demikian.

Abu Bakar sebelum ini berkata, pihaknya sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan, namun sebarang keputusan kedudukan Menteri Besar Perlis tetap terletak kepada kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan keputusan pimpinan tertinggi PN.

Kenyataan itu rentetan krisis integriti melanda kepimpinan negeri itu sejak kebelakangan ini apabila Menteri Besar Perlis yang Pengerusi PN Perlis merangkap Pesuruhjaya Pas, Mohd Shukri Ramli disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa, baru-baru ini. – MalaysiaGazette