Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjalan keuar dari Kompleks Mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) difahamkan akan membantah permohonan semakan kehakiman oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dakwaan kerajaan menghentikan peruntukan dana lebih RM4 juta bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasannya.

AGC akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan akan mengemukakan bantahan itu dalam masa terdekat di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, mengesahkan perkara itu kepada media sebentar tadi.

Untuk makluman, bekas Menteri Belia dan Sukan (KBS) itu memerlukan kebenaran daripada mahkamah sivil sebelum dapat meneruskan permohonannya.

Syed Saddiq bersama tiga pengundi bertindak menyaman perdana menteri dan kerajaan berikutan pembatalan dana RM730,300 bagi kawasan Parlimen Muar tahun lalu.

Beliau juga telah memohon perintah membatalkan keputusan yang didakwanya dibuat kerajaan untuk membatalkan akses pemohon kepada sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan RM2 juta bagi kawasan Parlimen Muar.

Dalam afidavit itu, dakwa Syed Saddiq, keputusan menyekat peruntukan itu dibuat sejurus selepas Muda membuat keputusan menarik diri daripada menyokong kerajaan diterajui Anwar sekitar September tahun lalu. – MalaysiaGazette

Syed Saddiq saman kerajaan kerana sekat peruntukan