S Herman Rivae, 21, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang warga emas yang juga pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di sini minggu lalu.

MELAKA – Seorang chef dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang warga emas yang juga pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di sini minggu lalu.

Tertuduh, S Herman Rivae, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki berusia 68 tahun di kawasan letak kenderaan Pangsapuri Laksamana Cheng Ho 2, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8 pagi pada 29 April lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa menegur tindakan tertuduh yang memasuki kawasan pangsapuri berkenaan dengan kenderaan menggunakan laluan yang salah menyebabkan tercetus pergaduhan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa yang tinggal di kawasan perumahan sama.

Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek bagaimanapun merayu jaminan yang rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai chef dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,300.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 7 Jun ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette