Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet
Tatakelola Nasional (JKKTN) yang bersidang hari ini bersetuju dengan cadangan penggubalan akta bagi memperkukuh kawal selia Badan Berkanun Persekutuan (BBP).

Penggubalan itu akan mencakupi perkara-perkara berkaitan pinjaman, pelaburan, penubuhan anak-anak syarikat dan lain-lain perkara bagi tujuan diputuskan di Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kerajaan memandang serius isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan Entiti Berkepentingan Kerajaan yang menyebabkan ketirisan wang awam, salah guna kuasa dan menjejaskan imej negara.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan supaya pelanggaran tatakelola baik yang pernah berlaku ke atas entiti-entiti berkepentingan Kerajaan sebelum ini tidak berulang lagi,” kata kenyataan yang sama.

Mesyuarat pada hari ini juga telah mendengar pembentangan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung isu kematian dalam lokap dan langkah pencegahan yang dicadangkan.

Justeru, mesyuarat bersetuju supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh EAIC bagi pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan Dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan berhubung aspek penambahbaikan perundangan, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia masing-masing serta dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing bagi memastikan isu hak asasi manusia terpelihara selaras dengan prinsip tatakelola baik negara.- MalaysiaGazette