Muhammad Yusoff Rawther berjalan keluar selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther yang meminta polis mendedahkan keputusan ujian poligraf yang diambil pada Disember 2019.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Johan Lee Abdullah menolak permohonan Yusoff yang mahu melibatkan ujian itu dalam kes samannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya telah menyerang beliau secara seksual.

Kata Johan Lee, permohonan Yusoff itu tidak membantu mendapatkan pengadilan dalam kes saman tersebut.

“Dokumen ujian poligraf itu adalah sebahagian daripada kertas siasatan dan sepatutnya maklumat berkenaan dilindungi.

“Dalam afidavit plaintif juga sudah tegaskan bahawa ini akan panjangkan atau tangguhkan bicara. Jadi adalah agak mengganggu apabila plaintif sendiri yang meminta ujian poligraf dan kini ingin menggunakan laporan itu untuk membuktikan kesnya.

“Saya bersetuju dengan PRDM bahawa jika permohonan ini dibenarkan, ia akan membuka ruang kepada orang awam untuk menggunakan bantuan pasukan polis bagi menyokong tindakan peribadi mereka di mahkamah sivil.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku,” katanya pada prosiding, hari ini.

Pada 17 Disember 2019, Yusoff menjalani ujian poligraf di Bukit Aman selama empat jam manakala Anwar pula memberikan keterangan kepada polis pada sebelah petang.

Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 7 Disember 2019 untuk meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah mengenai dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR itu terhadapnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun pula menafikan dakwaan Yusoff dan menyifatkan ia sebagai fitnah. – MalaysiaGazette