Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pasport untuk sementara waktu bagi membolehkan beliau melawat saudara sakit di Australia bulan ini.

Difahamkan seorang ahli keluarga Presiden Bersatu itu sedang menghidapi kanser perut.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan Muhyiddin dan tidak mendapat bantahan pasukan pendakwaan.

Menurut Datuk Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili Muhyiddin, pihaknya memohon pasport anak guamnya dipulangkan sementara sehingga hujung bulan ini sebelum mengembalikan kepada mahkamah semula pada 28 Mei.

Azura juga menetapkan 13 Jun ini bagi mendengar permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan prosiding, bagi menunggu permohonan semakan yang dibuatnya bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Mahkamah Rayuan akan mendengar kes itu pada 9 Julai depan.

Pasport Muhyiddin ditahan mahkamah selepas dituduh terbabit penyelewengan dan salah guna kuasa antara Mac 2020 dan Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu. – MalaysiaGazette