Raffidan Daud, SPRM tuduh penjawat awam berusia 39 tahun di Bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 pilihan Seksyen 165 KK di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 9 MEI 2024

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen memerintahkan pegawai Imigresen Selangor membayar denda RM10,000 selepas beliau mengaku bersalah terhadap tuduhan menerima wang tunai sebanyak RM2,500 daripada seorang pemilik syarikat untuk melepaskan pekerjanya yang merupakan warga asing.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Raffidan Daud pada 24 April lalu jam 1 hingga 2 petang menerima untuk dirinya benda yang berharga iaitu wang tunai daripada pemilik syarikat ST Golden Star Sdn Bhd, Rusiah Dahari.

Raffidan dituduh menerima wang itu yang diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai seorang penjawat awam di Jabatan Imigresen Negeri Selangor.

Sehubungan itu, beliau telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara sehingga dua tahun beserta denda.

Peguam bela yang mewakilinya, C.R Selva kemudian memohon supaya mahkamah mengecualikan hukuman penjara terhadap anak guamnya.

Jelasnya Raffidan, 39, mempunyai isteri yang sedang mengandung selain anak yang bersekolah.

Selain itu, peguam tersebut turut memohon supaya mahkamah meringankan hukuman denda terhadap Raffidan dengan mempertimbangkan kesalahan berkenaan merupakan pertama kali dilakukan anak guamnya.

“Orang Kena Tuduh (OKT) pernah dianugerahkan perkhidmatan cemerlang, rekod kerjanya juga selama ini baik,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Anita Harin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili kes tersebut, Muaz Ahmad Khairuddin meminta supaya mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran kepada masyarakat.

Setelah mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak, hakim bersetuju mengecualikan hukuman penjara terhadap Raffidan.

Sekiranya gagal melunaskan denda, beliau boleh dipenjarakan selama 10 bulan.

Terdahulu, Raffidan turut berhadapan dengan pertuduhan utama iaitu secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai RM 2,500 daripada Rusiah sebagai dorongan melepaskan pekerjanya iaitu Md Rasedul ditahan JIM Selangor.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan utama itu. – MalaysiaGazette