KUALA LUMPUR – Insiden serangan menimpa tiga pemain bola sepak negara terutamanya melibatkan Muhammad Faisal Abdul Halim mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI).
Menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi badan induk bola sepak negara jiran tersebut, PSSI memberi kata-kata semangat kepada pemain lincah berusia 26 tahun itu.
Malah, para penyokong bola sepak Indonesia turut mendoakan kesejahteraan buat Faisal dan mendoakan agar beliau dapat pulih seperti sedia kala.
“Kami turut prihatin terhadap kejadian yang menimpa tiga pemain bola sepak kebangsaan Malaysia.”
“Kembali dengan lebih kuat, Faisal Halim!” tulis media sosial PSSI.
Insiden hitam dilalui Faisal yang merupakan pemain Selangor FC bukan sahaja mendapat perhatian PSSI, malah sebelum ini turut mencuri tumpuan media di Sepanyol dan Korea Selatan.
Selepas beberapa hari perkembangannya kelihatan cukup menyedihkan, Faisal pada ketika ini semakin menunjukkan perkembangan positif.
Semalam, pemain Harimau Malaya itu sudah boleh makan dengan diet lembut dan berada dalam keadaan yang cukup bersemangat.
Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar mendedahkan bahawa Faisal tidak sabar untuk bangun dan melakukan senaman ringan lazim membabitkan bola sepak.
Laporan juga mengatakan balutan di seluruh tubuh badannya juga sudah dibuka selepas pembedahan kedua malam tadi. – MalaysiaGazette