Remaja lelaki berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini atas dua pertuduhan merogol anak saudara tirinya berusia 12 tahun pada 18 dan 23 Februari lalu.

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki menangis teresak-esak selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, atas dua pertuduhan merogol anak saudara tirinya Februari lalu.

Tertuduh yang merupakan pekerja kedai makan berusia 19 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Nariman Badruddin.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tanpa kerelaannya pada kira-kira pukul 2 pagi 18 Februari lalu dan kira-kira puul 2.30 pagi 23 Februari lalu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Batu 16, Kampung Paya Datuk dalam daerah Alor Gajah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM40,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan.

Tertuduh bagaimanapun dalam nada sugul di dalam kandang saksi memohon jaminan rendah kerana hanya bekerja di kedai makan mananakala ibunya tidak bekerja selain bapanya adalah seorang pemandu lori.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan tidak dibenar mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang saksi sambil disaksikan ahli keluarga di galeri awam.

Kes akan disebut semula 10 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette