Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

Kuala Lumpur – Seramai 10 individu, termasuk tiga lelaki warga asing, yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom akan dibebaskan dengan jaminan polis pada minggu depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek akan dibebaskan sebelum tarikh reman mereka tamat pada 14 dan 15 Mei ini.

“Bagi tiga lelaki warga asing yang ditahan itu, mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

“Walaupun akan dibebaskan nanti, kami (pihak polis) boleh panggil semula suspek sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberira ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Balai Polis Jinjang, di sini, hari ini.

Pada 19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan semula mengikut  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari.

Katanya, tahanan dibuat bagi menjalankan siasatan di bawah Akta Senjata Api selepas tempoh reman mereka tamat pada 18 April lalu.

Menurut Rusdi, siasatan ke atas 10 suspek itu kini dijalankan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan iaitu menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Terdahulu, 18 individu ditahan dengan tiga suspek iaitu Shalom dan pasangan suami isteri sudah pun didakwa di mahkamah, manakala lima lagi dibebaskan.

Pada 27 Mac lalu, Shalom yang memiliki pasport Perancis ditahan di sebuah hotel di ibu negara selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya. – MalaysiaGazette