HULU SELANGOR – Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok.
Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.
Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Selasa lepas, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal.
Kempen PRK KKB yang memasuki hari terakhir hari ini dan akan tamat pada 11.59 malam, menyaksikan pecutan akhir parti dan individu bertanding dengan penganjuran ceramah mega serta kempen bagi meraih seberapa banyak undi.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Kesemua calon tidak akan turun mengundi esok kerana merupakan pengundi luar.
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi 4,119.
Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca diramal baik pagi esok di Kuala Kubu Baharu, manakala ribut petir dijangka melanda pada petang dan hujan pada sebelah malam. – BERNAMA