Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor disaman oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menuntutnya memulangkan kembali barangan mewah bernilai AS$346 juta.

Difahamkan selain 1MDB, sebanyak 10 syarikat termasuk anak syarikat 1MDB juga bertindak menyaman isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dengan menuntutnya membayar AS$346,010,489.

Syarikat-syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited; SRC International Sdn Bhd; Affinity Equity International Partners Limited; Alsen Chance Holdings Limited; Blackrock Commodities (Global) Limited; Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Writ saman 1MDB dan 10 pihak tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Kesemua mereka mendakwa barangan mewah yang telah diperolei daripada dana 1MDB itu termasuk pembelian ribuan jenama barangan kemas, beg tangan mewah dan jam tangan berjumlah AS$346 juta.

Plaintif mendakwa barangan itu sama ada dibeli oleh Rosmah atau telah dibelikan kepadanya.

“Barangan itu telah dibeli dengan menggunakan dana diseleweng daripada anak syarikat 1MDB,” kata writ saman itu.

Mereka mendakwa wang dipindahkan menggunakan pelbagai entiti luar pesisir termasuk lima plaintif yang terlibat sebelum diberikan kepada 48 vendor yang berpangkalan di tidak kurang daripada 14 bidang kuasa untuk pembelian barangan mewah. -MalaysiaGazette