Anthony (tengah) selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Akademi Pengangkutan Jalan, Ayer Molek, Melaka, hari ini.

MELAKA – Laporan kelemahan sistem pendaftaran nombor plat kenderaan klasik bagi mengelak insiden ‘pertindihan’ pemilik sudah diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk penilaian.

Menteri MoT Anthony Loke berkata, Ketua Pengarah JPJ Datuk Rospiagos Taha sudah menyiapkan laporan berkenaan bagi menutup kelemahan sistem itu yang hanya melibatkan negeri dan tiada kawalan di peringkat Ibu Pejabat.

“Kita tak mahu nombor-nombor klasik pada zaman 1950-an, 60-an ini didaftarkan tanpa satu proses sistem lebih telus dan terperinci sebab kita tak nak orang ingat nombor itu tiada pemilik tapi lepas itu pemilik asal datang tuntut.

“Ini akan timbulkan keraguan pada JPJ sebab nombor pendaftaran klasik ini dulu tiada dalam sistem, MySIKAP kerana kita punya sistem pendaftaran hanya bermula sekitar 1980-an,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme JPJ di Akademi Pengangkutan Jalan, Ayer Molek, di sini hari ini.

Hadir sama Rospiagos dan Pengarah JPJ Negeri Muhammad Firdaus Shariff.

Anthony berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan Pasukan Petugas Khas yang turut dianggotai Unit Integriti kementerian itu bagi menyiasat dakwaan kelemahan tadbir urus berkenaan pendaftaran nombor plat klasik JPJ.

Langkah itu susulan maklumat tersebut yang terkandung dalam dokumen JPJandora Papers.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, antara kelemahan sistem berkenaan adalah tiada kawalan di peringkat kementerian.

“Kadang-kadang, di peringkat negeri boleh lulus (pendaftaran nombor klasik), itu kawalan yang perlu diperketatkan…mungkin kenderaan itu atau pemiliknya dah tiada, ia boleh dilucuthakkan nombor pendaftarannya.

“Nombor plat ini mestilah kita kenal pasti dengan lebih baik supaya tak timbul isu pemilik asal nombor klasik itu diserahkan kepada orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette