PELABUHAN KLANG – Keadaan kesihatan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim yang disimbah asid baru-baru ini semakin baik.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, doktor yang merawat pemain itu memaklumkan bahawa keadaan fizikal Faisal sangat cergas.
“Doktor cakap beliau sangat bersemangat untuk jalani fisio, sebab beliau tak sabar nak beraksi semula,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Kini Faisal sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam susulan disimbah asid pada Ahad.
Beliau mengalami kelecuran tahap empat dan sudah menjalani dua pembedahan setakat ini.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Institut Sukan Negara (ISN) kini bekerjasama dengan doktor dari hospital swasta terbabit bagi memastikan pasca pembedahan Faisal pada landasan yang betul.
“Kita kena rujuk dengan doktor (kadar kesembuhan) dan doktor agak yakin Faisal sangat positif tentang diri sendiri.
“Ada atlet yang hilang semangat, ada yang tidak dan merasakan dia boleh buat ini tapi Faizal sangat berbeza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette