Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu demi melahirkan seorang insan yang berguna untuk agama dan negara. Gambar hiasan

Oleh: Abdul Hadi Abd Aziz

Ibu adalah seorang insan yang sangat dipandang mulia dalam Islam. Islam meletakkan kedudukan ibu bapa setelah Allah dan Rasul-Nya. Setiap manusia yang dilahirkan pasti mempunyai ibu bapa sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Maka adalah menjadi tanggungjawab setiap anak-anak mereka untuk berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa mereka yang masih hidup lebih-lebih lagi kepada insan bergelar ibu kerana kedudukan ibu lebih tinggi berbanding seorang bapa. Manakala ibu bapa yang sudah tiada, anak-anak mesti selalu mengirimkan doa dan menziarahi pusara mereka.

Dunia pada hari ini telah menciptakan satu hari istimewa khas bagi para ibu yang dikenal sebagai ‘Hari Ibu’ yang disambut setiap tahun pada tanggal 12 Mei bagi merayakan dan menyatakan rasa syukur kepada mereka atas segala pengorbanan yang telah diberikan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak tanpa rasa Lelah dan jemu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahqaf ayat 15: “Dan Kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah”.

Jihad seorang ibu ialah mengandungkan anaknya, melahirkan, menyusukan, bersengkang mata untuk membesarkan, memberi didikan yang cukup dan memberi segala kasih sayang terhadap anaknya. Betapa besarnya pengorbanan dan beratnya beban yang telah dilalui oleh seorang ibu demi melahirkan seorang insan yang berguna untuk agama dan masyarakat serta dapat berbakti kepada orang tuanya kelak. Daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Seorang sahabat datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, siapakah yang paling berhak mendapat perlakuan baik dari saya?”. Nabi SAW menjawab: “Ibumu!” Dan sahabat bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?” Nabi SAW menjawab: “Ibumu!”. Sahabat bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?”. Baginda menjawab: “Ibumu”. Sahabat bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?”. Nabi SAW menjawab: “Kemudian ayahmu”.

Nama ibu disebut sebanyak tiga kali menandakan bahawa pentingnya seorang anak itu berbuat baik kepada ibunya. Allah SWT juga telah merakamkan perintahnya kepada umat Islam agar berbuat ihsan; yakni berbuat baik kepada ibu bapa mereka sehingga melarang mengangkat suara terhadap mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.

Namun amat dukacita sekali pada hari ini, betapa ramainya anak-anak tidak menghormati ibu bapa mereka khususnya ibu, malah ada yang mencaci dan menghina ibu sendiri tanpa memikirkan apakah betul atau salah tindakan mereka. Dalam satu riwayat Muslim, Nabi SAW pernah mengatakan bahawa celakalah anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa atau salah seorang dari keduanya tetapi tidak dapat masuk ke dalam syurga. Sedangkan ibu bapa ini adalah sumber untuk kita meraih ganjaran pahala yang besar jika kita benar-benar berbakti dan berbuat baik kepada mereka. Oleh kerana anak-anak tiada tanggungjawab, akhirnya mereka terlepas dari ganjaran yang sangat besar iaitu syurga Allah SWT. Itulah kerugian yang amat besar jika kita turut sama memperlakukan sedemikian kepada ibu bapa kita.

Imam An-Nawawi telah menjelaskan dalam kitabnya Riyadus Salihin bahawa kewajiban berbakti kepada ibu adalah salah satu tindakan yang paling utama dan pahalanya sangat besar dalam Islam. Manakala Imam al-Ghazali pula menyatakan ibu adalah pintu terbesar menuju syurga. Oleh itu, siapa yang ingin memasuki syurga harus menghormati ibunya. Selain itu, Nabi SAW menegaskan bahawa berbakti kepada ibu bapa adalah hal yang lebih besar berbanding urusan lain termasuk juga berjihad. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, seorang sahabat datang kepada Nabi SAW memohon izin untuk berjihad. Rasulullah SAW bertanya: “Apakah kedua orang tua engkau masih hidup?” Lelaki itu menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda: “Maka berjihadlah di sisi mereka”.

Dalam sebuah hadis lain riwayat al-Nasa’i, daripada Mu’awiyah bin Jahimah, beliau datang berjumpa Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya ingin berperang, dan saya datang untuk meminta nasihatmu?” Nabi SAW bertanya: “Apakah ibu engkau masih hidup?”. Mu’awiyah menjawab: “Ya, dia masih hidup”. Baginda bersabda: “Maka tinggallah bersamanya, kerana syurga terletak di bawah telapak kakinya”. As-Sakhawi menjelaskan bahawa makna syurga dalam hadis ini ialah kesederhanaan dan sifat tawadduk dalam berbuat baik terhadap ibu merupakan penyebab masuknya ke dalam syurga. Maka berdasarkan penjelasan tersebut, ia mungkin menggambarkan bahawa bahagian syurga seseorang tidak akan tercapai kecuali melalui ibunya. Ini kerana apabila sesuatu berada di bawah kaki seseorang, dia umpama telah menguasainya, sehingga tidak mungkin bagi orang lain untuk mencapainya kecuali melalui dirinya. Begitulah hebatnya darjat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada seorang yang bergelar ibu.

Melalui bukti dan keterangan di atas, maka jelas bahawa hak yang dimiliki oleh seorang ibu terhadap anak-anaknya yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Kemudian, ibu memiliki keutamaan dan kedudukan yang tidak dapat diabaikan, tanpa memperhatikan segala yang dilakukan. Anak-anaknya tidak akan mampu membalas budi atau memberi balasan yang setimpal dengan pengorbanan dan kebaikan yang telah dicurahkannya. Dia telah menanggung penderitaan dan kesusahan selama hamil dan melahirkan anaknya serta menanggung segala hal anaknya. Bukankah balasan kebaikan tidak bukan dengan kebaikan juga? Oleh itu, kita dinasihatkan agar bersabar dalam mentaati ibu dan memberikan kebaikan kepadanya serta mencurahkan kasih sayang serta menampakkan kebaikan khusus kepadanya.

Meskipun ibu melakukan kesalahan, kita masih perlu menghormati mereka. Allah SWT memerintahkan kita taat kepada ibu bapa kita dalam perkara-perkara baik. Namun jika ibu bapa kita menyuruh kita melakukan perkara maksiat, maka kita dibenarkan untuk tidak mentaati ibu bapa kita. Tetapi dengan cara yang berhikmah menolaknya tanpa meninggikan suara dan menggunakan kata-kata yang kesat. Sentiasalah berdoa buat ibu bapa kita pada setiap masa. Setiap kali kita teringatkan mereka berdoalah dengan segera. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua anak-anak yang soleh, penyejuk mata mereka dan dapat berbakti kepada mereka hingga penghujung nyawa mereka. Ya Allah, bantulah kami dan permudahkanlah segala urusan kami demi ibu dan bapa khususnya ibu yang kami cintai dan rindui.

Penulis dari Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast