Gambar hiasan

TAMPOI – Polis Pasukan Marin (PPM) menumpaskan sindiket memproses minuman keras yang bernilai RM508,265 semasa serbuan Ops Taring Landai si sebuah kilang di Pontian, semalam.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, seramai empat lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 27 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada jam 1 pagi itu.

“Kesemua mereka didapati tidak mempunyai apa-apa dokumen pengenalan diri dan dipercayai merupakan pekerja di premis tersebut.

“Dalam serbuan itu, kami telah menemui sebanyak 187 kotak minuman keras dan tiga tong plastik berisi cecair alkohol.

“Turut dirampas adalah peralatan memproses dan mengisi minuman keras termasuk empat mesin penutup botol, lima pam elektrik beserta hos, dua bungkus pelekat sebuah jenama minuman keras dan dua kotak penutup botol dengan pelekat ‘duty paid’ kastam,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Secara keseluruhan, sebanyak 1,683 liter alkohol telah dirampas dan sebuah kereta jenis Toyota Estima turut disita.

Kes akan disiasat diawah Seksyen 3(1) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 kerana mengilang samsu gelap dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit yang sah.

“Kami akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan arak tidak bercukai dan pemprosesan minuman keras tiruan,” ujarnya. – MalaysiaGazette