KUALA LUMPUR – Sejumlah 8.94 juta jawatan direkodkan pada suku tahun pertama 2024, rekod tertinggi sejak 2018.

Terdapat pertambahan sebanyak 131, 700 jawatan di sektor ekonomi, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku tahun pertama (ST1) 2023
(8.81 juta).

Jabatan Perangkaan berkata, jumlah jawatan diisi juga meningkat kepada 8.75 juta, dengan 97.9 peratus jawatan telah diisi.

Dari segi kekosongan jawatan, 191,900 kekosongan dilaporkan dengan kadar sebanyak 2.1 peratus manakala pewujudan jawatan adalah 32,100 jawatan,
meningkat daripada 31,700 (ST1 2023).

Merujuk kepada kategori kemahiran, jawatan di dalam kategori separuh mahir mendahului dengan 62.5 peratus (5.59 juta), diikuti oleh mahir pada
25.1 peratus (2.24 juta) dan berkemahiran rendah pada 12.4 peratus (1.11 juta).

Untuk kategori mahir, 2.19 juta jawatan (97.9%) telah diisi dan 47,800 (2.1%) adalah kekosongan jawatan.

Selain itu, 8,900 jawatan telah diwujudkan dalam kategori ini.

Bagi kategori separuh mahir, jawatan diisi adalah sebanyak 5.48 juta jawatan pada ST1 2024, sementara itu, kekosongan jawatan adalah 107,500 menjadikan kadar jawatan diisi 98.1 peratus dan kekosongan jawatan 1.9 peratus.

Di samping itu, 19, 900 jawatan baharu telah diwujudkan.

Dari segi kategori berkemahiran rendah, 1.07 juta jawatan atau bersamaan dengan 96.7 peratus daripada jumlah jawatan telah diisi, manakala kekosongan jawatan direkodkan adalah 36,600 (3.3%).

Tambahan pula, sejumlah 3,400 jawatan baharu diwujudkan dalam kategori ini.

Melihat kepada aktiviti ekonomi, majoriti jawatan dan jawatan diisi adalah di dalam sektor Perkhidmatan yang mana masing-masing menyumbang sebanyak 51.8 peratus (4.64 juta) dan 52.7 peratus (4.61 juta).

Kekosongan jawatan tertinggi dicatatkan di dalam sektor pembuatan dengan sumbangan 56.7 peratus (108,800), diikuti oleh pertanian (16.7%; 32,100), pembinaan (13.4%; 25,700) dan perkhidmatan (12.9%; 24,600).

Manakala, pewujudan jawatan didominasi oleh sektor perkhidmatan dengan 49.5 peratus (15,900), diikuti oleh pembuatan dengan 33.3 peratus (10,700)
dan pembinaan dengan 11.9 peratus (3,800). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here