Foto Instagram Awal Ashaari.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Awal Ashaari  kecewa dengan tindakan Wardina Safiyyah kerana memuat naik nama selebriti yang perlu diboikot susulan didakwa mempromosikan produk pro-Israel.

Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, berkata, Wardina seharusnya lebih memahami komitmen seorang selebriti memandangkan dia juga pernah bergelar artis satu ketika dahulu.

Isterinya, Scha Alyahya turut disenarai dalam ruangan ‘Highlight’ akaun Instagram Wardina sebagai artis yang wajar disekat.

“Seorang yang tidak mengenali saya secara peribadi, menyebut nama saya, isteri dan beberapa rakan selebriti lain yang tiada kaitan dengan dirinya.

“Mencipta kebencian, cuba memecah-belahkan kami dengan warganet dengan menggunakan paksi agama dan isu Palestin yang ternyata berlarutan sejak dahulu.

“Apa motif beliau? Saya terkilan kerana Wardina pernah bergelar artis dan menjadi duta kepada jenama ‘Israhell’. Kenapa sekarang?” soal Awal.

Ketika ini, Kempen Blockout 2024 dijalankan di media sosial di mana gerakan ini aktif memberikan kesedaran untuk boikot artis atau pempengaruh yang tidak bersuara langsung tentang isu kemanusiaan di Gaza.

Tindakan unfollow dan block di media sosial difahamkan untuk memberi kesan terhadap selebriti-selebriti yang bekerjasama dengan produk-produk yang mempromosikan atau menyumbang kepada rejim zionis dari segi keuntungan dan penjualan.
Kempen itu bukan sahaja melibatkan boikot di kalangan artis Hollywood seperti Taylor Swift, Billie Eilish dan Harry Styles, tetapi juga merebak sehingga ke industri hiburan Malaysia di mana selebriti-selebriti yang berdiam diri tentang Palestin atau bekerjasama dengan produk yang didakwa memberi sumbangan terhadap Israel diboikot dan disekat oleh peminat di media sosial.
Sehingga kini difahamkan lebih 30,000 penduduk Palestin telah dibunuh oleh Zionis sejak pertempuran yang berlaku pada 7 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, bekas pengacara program Melodi itu berkata, ada banyak cara lebih baik untuk Wardina berdakwah atau melancarkan gerakan, bukan dengan cara mencipta kebenciaan, memecahkan-belahkan rakyat Malaysia dan menabur pasir dalam periuk nasi anak seni yang rata-ratanya bersusah payah mencari rezeki untuk menyara banyak mulut di rumah.

“Ada tanggungjawab kepada negara yang perlu dilangsaikan. Bukan macam akak, duduk di negara luar, tak tau kepayahan kami di sini. Bersembunyi di sebalik Instagram Israhell mencipta kebencian untuk memecah-belahkan kami di bumi Malaysia yang majoritinya Islam.

“Walaupun tak selalu disensasikan dalam media sosial, jiwa dan doa kami sentiasa untuk saudara-saudara seagama kami di Palestin.

“Paparkan nama kami dan ‘repost’ siapa yang ikut cara akak. Siap ada ruangan ‘highlight’ istimewa didedikasikan di IG. Untuk apa? Saya harap akak sihat fizikal dan mental,” tulis Awal.

Sementara itu, menyedari hantarannya mendapat perhatian Awal, Wardina tampil mempertahankan diri dengan mengatakan senarai nama selebriti bukan datang daripadanya, sebaliknya dicadangkan oleh netizen.

Bagaimanapun, katanya dia memahami perasaan selebriti yang nama dipetik dan disenaraikan oleh netizen.

“Saya rasa Awal tak maksudkannya. Awal seorang yang baik, mungkin dia hanya menjawab pertanyaan dari media apa perasaan apabila namanya ada dalam IG saya.

“Dia juga berkata sedemikian kerana tak tahu nak jawab apa. Kami tak nak bergaduh apa lagi dengan situasi sekarang.

“Saya faham bila nama dipetik tentulah ada yang terasa, tapi apa kata ambil teguran netizen ini dari sudut yang positif.

“Mana-mana yang merasakan mereka kurang memuat naik mengenai Palestin mungkin masanya untuk berbuat demikian. Netizen pula tegurlah secara elok, bukan membenci mereka.,” ujarnya menerusi Instagram Story. – MalaysiaGazette