KUALA LUMPUR – Tiga buah rumah berdekatan surau di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh dijadikan stor simpanan pakaian tiruan berjenama.
Modus operandi itu berjaya dipatahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dijalankan pihaknya susulan aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan pada 15 Mei lalu.
“Hasil maklumat awal diperoleh kesemua rumah ini disyaki dijadikan stor untuk menyimpan kesemua pakaian terbabit sebelum dipasarkan secara borong dan runcit selain dijual di pasar pagi dan pasar malam sekitar Lembah Klang, Perak dan Pahang.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pasukan serbuan menemukan sejumlah 17,320 helai pelbagai jenis pakaian seperti jersi, seluar dan baju jenama terkenal yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, pihaknya turut menyita kesemua pakaian terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM254,950.
“Dalam serbuan itu, pasukan turut menahan seorang wanita berusia 33 tahun yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta 815 ini.
“KPDN ingin menegaskan serta memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia adalah suatu kesalahan yang serius,” jelasnya. – MalaysiaGazette