Foto: JBPM

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang mendaki Gunung Angsi, Kuala Pilah yang tersesat semasa melakukan pendakian diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, semalam.

JBPM Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.05 petang.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Izzuwan Abd Rahim berkata, kejadian melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 20 an yang tersasar dari laluan asal pendakian di gunung tersebut.

“Salah seorang mangsa turut mengalami kecederaan ringan dan keletihan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurut Mohd Izzuan, kedua-dua mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Khas Pasukan Tektikal Operasi penyelamat Malaysia (STORM) pada jam 11.48 malam dan mereka dibawa turun melalui jalan ke Air Terjun Dara, Taman Tuanku Jaafar, Senawang.

Tambah beliau, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dengan menaiki kenderaan Unit EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jelasnya, seramai 13 anggota bomba termasuk pasukan STORM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti dan Seremban ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Ujarya, operasi yang turut dibantu oleh pasukan Malim Gunung Perhutanan Negeri Sembilan itu ditamatkan pada jam 1.20 pagi tadi. – MalaysiaGazette