Bangunan Maybank Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.49 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024, berbanding RM2.27 bilion yang dicatatkan setahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu berkata, hasil meningkat kepada RM18.35 bilion daripada RM15.19 bilion sebelum itu.

Maybank berkata, pendapatan faedah bersih dan pendapatan Perbankan Islam bagi tempoh dalam tinjauan meningkat sebanyak RM224.8 juta atau 4.5 peratus kepada RM5.24 bilion berbanding suku yang sama sebelumnya.

Perkhidmatan insurans/takafulnya meraih pendapatan bersih RM182.1 juta pada suku pertama 2024 berbanding perbelanjaan bersih RM8.0 juta sebelumnya.

“Pendapatan operasi lain kumpulan itu bagi suku pertama 2024 ialah RM2.87 bilion, meningkat RM1.15 bilion atau 66.8 peratus daripada RM1.72 bilion dalam tempoh kewangan tiga bulan yang sama sebelumnya,” katanya.

Bank itu berkata, perbelanjaan overhed kumpulan bagi suku semasa mencatatkan peningkatan 19.8 peratus kepada RM3.66 bilion berbanding suku yang sama sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan kakitangan, pentadbiran dan perbelanjaan am, kos penubuhan dan perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi.

Mengenai prospek, Maybank berkata, kumpulan itu bersedia untuk memanfaatkan pertumbuhan perniagaan yang dikenal pasti dengan mengembangkan bidang utama perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan, perbankan global kumpulan serta insurans dan takaful kumpulan.

Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangkakan, kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai pulangan ke atas ekuiti sebanyak 11 peratus bagi tahun kewangan 2024, katanya. – BERNAMA