Keadaan kejadian bumbung jatuh akibat ribut dan hujan lebat yang melanda pada kira-kira pukul 5 petang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Apartmen Putra Ria, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya enam unit kediaman di Blok B Apartmen Putra Ria, Bangsar, di sini, terjejas akibat bumbung rosak akibat angin kencang petang tadi.

Dalam kejadian jam lima petang itu, beberapa kenderaan milik penduduk apartmen tersebut turut rosak akibat diterkena bumbung zink itu.

Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai Sub Zon 1 Abdul Haniff Sulaiman yang ditemui di lokasi berkata, sebanyak enam kereta dan tiga motosikal mengalami kerosakan.

Pada masa yang sama, katanya, terdapat sebuah kediaman di tingkat 22 blok berkenaan memerlukan tindakan segera kerana hampir keseluruhan bumbungnya tercabut.

“Pada masa ini, tiada keperluan untuk penghuni unit nombor 8 itu untuk berpindah kerana situasi tak serius namun kita tetap akan bersedia dengan dua buah dewan komuniti yang ada di sini kerana rumah tersebut mengalami sedikit kebocoran.

“Kontraktor membaiki bumbung juga telah hadir ke lokasi untuk membuat penilaian kerosakan yang berlaku untuk tindakan selanjutnya,’ katanya.

Ambul Haniff berkata, ia merupakan kali pertama insiden seumpama terjadi di perumahan tersebut.

Keadaan kejadian bumbung jatuh akibat ribut dan hujan lebat yang melanda pada kira-kira pukul 5 petang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Apartmen Putra Ria, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MEI 2024.

Katanya, hampir kesemua pemilik kenderaan yang terjejas membuat laporan kepada pihaknya bagi memudahkan penyaluran bantuan dan mereka diminta membuat laporan polis bagi memudahkan urusan tuntutan insurans.

Sementara itu, seorang penduduk apartmen tersebut, M. Santha Kumari, 41, berkata, beliau yang tinggal di tingkat 20 tidak terkesan dalam kejadian.

Bagaimanapun, katanya, sebuah kenderaan milik ahli keluarganya mengalami kerosakan iaitu bahagian cermin belakang kereta retak dan pecah.

“Semasa kejadian, saya lihat betul-betul depan mata saya bumbung itu jatuh atas kereta keluarga saya.

“Semasa kejadian, angin bertiup kuat dan hujan sangat lebat, saya rasa sangat takut ketika itu sebab terdapat ramai kanak-kanak di rumah kami selain adik saya baru melahirkan anak.

“Semua menjerit dan menangis ketakutan semasa kejadian tetapi syukur semua selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette