Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap selepas ke Pameran Era Pascanormal Madani di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai calon Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu esok.

Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat dalam kunjungannya ke Sarawak.

“Kita akan bincang dengan pimpinan parti peringkat awal untuk pimpinan Sarawak tapi dia terhenti sebelum tamat, jadi saya akan bincang.

“Esok saya ke Sarawak. Insya-Allah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke Pameran Era Pascanormal Madani di pusat beli-belah Berjaya Times Square.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan dan Pengasas Berjaya Corporation Bhd(BCorp) Tan Sri Vincent Tan.

Jawatan Speaker Dewan Negara menjadi kosong selepas penyandangnya, mendiang Datuk Mutang Tagal, 69, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 10 Mei lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, mendiang sebelum itu menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia dari Azerbaijan pada 6 Mei lalu.

Mendiang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya di Baku, Azerbaijan yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei lalu.

Mendiang dipilih menjadi Speaker Dewan Negarake-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Feb lalu.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik memegang jawatan itu.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak dari 1982 hingga 1990. Mutang mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan.

Pemergian beliau meninggalkan isteri, Datin HoMay Leng dan tiga orang anak. – MalaysiaGazette