Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim hadir ke Pameran Era Pascanormal di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membincangkan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menimbulkan perdebatan dan bantahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu depan.

“Kita akan bincang Rabu ini, mesyuarat Kabinet Rabu ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Anwar melakukan lawatan ke Pameran Era Pascanormal Madani di pusat beli-belah Berjaya Times Square.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan dan Pengasas Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Tan Sri Vincent Tan.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UiTM menganjurkan bantahan kepada sebarang usaha untuk membuka pengambilan pelajar dalam kalangan bukan Melayu dan Bumiputera.

Yang Dipertua MPP UiTM, Amir Nur Rashid Lizam berkata, kempen bantahan isu berkenaan dengan menggalakkan mahasiswa mengenakan pakaian serba hitam pada 16 Mei lalu.

Awal bulan ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang tersebut. – MalaysiaGazette