Ribuan pengunjung pameran Malaysia Autoshow 2024 teruja apabila dapat melihat lebih dekat kenderaan perisai buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd. (Mildef).

KUALA LUMPUR – Ribuan pengunjung pameran Malaysia Autoshow 2024 teruja apabila dapat melihat lebih dekat kenderaan perisai buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd. (Mildef).

Dua varian kenderaan berperisai buatan Mildef yang menjadi dipamerkan ialah HMAV Tarantula dan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) Rentaka.

Memandangkan Malaysia Autoshow 2024 merupakan pameran automotif maka kehadiran dua kenderaan perisai ini disifatkan sebagai luar biasa.

Berdasarkan pengamatan, ribuan pengunjung ingin tahu tentang kebolehan syarikat bumiputera ini membangunkan kenderaan perisai.

Pengarah Urusan Mildef, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata, Mildef mendapat jemputan daripada pihak penganjur Malaysia Autoshow 2024 iaitu Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii) untuk mempamerkan produk keluaran tempatan dalam industri pertahanan.

Katanya, ini adalah kali pertama Mildef menyertai pameran automotif di MAEPS dan sambutan adalah sangat memberangsangkan.

“Kenderaan Tarantula yang dipamerkan adalah varian awal manakala yang terkini telah dibuat pengubahsuaian mengikut spesifikasi dan keperluan Tentera Darat.

“Tarantula dikendalikan tiga kru boleh membawa penumpang atau anggota tentera dengan laluan keluar masuk melalui pintu sisi dan belakang kenderaan,” ujarnya.

Tarantula melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Kata Mohd Nizam, HMLTV Rentaka pula bersaiz kecil sedikit dengan tahap perlindungan agak ringan berbanding Tarantula.

HMLTV juga telah melepasi ujian mobiliti, ujian tembakan dan ujian tahap perlindungan.

“Menerusi penyertaan ini kita berjaya mengubah tanggapan rakyat berkaitan kemampuan negara dalam menghasilkan kenderaan perisai di dalam negara Malaysia.

“Juga membuat pengunjung kagum dengan hasil rakyat Malaysia dan kepakaran anak Melayu tempatan dalam menghasilkan kenderaan perisai 4×4 dan lain-lain.

“Harapan saya dengan teknologi tempatan ini memberi kelebihan kepada kami untuk membekal kepada negara produk pertahanan dari Malaysia, buatan Malaysia untuk Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette