Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 72 laporan daripada mangsa sindiket pelaburan atas nama Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Investment melibatkan kerugian melebihi RM2.05 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pihaknya dapat mengesan sindiket yang giat aktif di aplikasi Facebook.

“Bukan itu sahaja malahan skim pelaburan itu turut menggunakan logo MIDF, sebuah syarikat milik Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bertujuan untuk mengelirukan mangsa.

“Siasatan juga mendapati mangsa-mangsa telah ditawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dibuat.

“Pakej pelaburan yang ditawarkan bermula serendah RM300 (keuntungan RM13,999) hingga RM5,000 (keuntungan RM99,999) dan pembayaran telah dibuat melalui akaun bank persendirian yang dipercayai merupakan akaun keldai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh menyebabkan seseorang dipenjara tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai diminta supaya lebih berwaspada dan menyemak terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa yang singkat.

“Sebagai langkah berjaga-jaga pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia telah menyenaraikan MIDF Investment dalam alert list masing-masing,” tambahnya. – MalaysiaGazette