Azizah mencium anak keduanya, Muhammad Huzaifah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM ketika ditemui di SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Tiada rahsia khusus dalam mendidik anak, tetapi sebelum tidur, saya akan sebut nama setiap seorang mereka sambil berdoa agar Allah SWT mudahkan urusan masing-masing di dunia dan akhirat”.

Demikian luah Azizah Abdul Wahab, 43, ibu kepada dua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.

Menurut Azizah, dia tidak sangka dua anaknya, Muhammad Huzaifah Raja Siraj Mohideen, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul dan Nur Husnina, 18, (SMK Convent Green Lane) mengikuti jejak langkah abang mereka dalam memperoleh keputusan semua A.

“Kami bukan berasal daripada keluarga berada dan anak-anak juga tidak mengikut sebarang kelas tuisyen disebabkan masalah kewangan memandangkan pendapatan kami hanya bergantung pada bantuan zakat serta pencen ilat suami berjumlah RM1,700 akibat menghidap parkinson sejak lapan tahun lalu.

Azizah.

“Jadi kejayaan anak kedua dan ketiga saya ini merupakan rezeki daripada Allah SWT,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik meneman Muhammad Huzaifah mengambil slip keputusan SPM di SMK Bukit Jambul di sini, hari ini.

Muhammad Huzaifah memperoleh 7A manakala adiknya yang mempunyai jarak kelahiran 11 bulan mencatatkan keputusan 8A.

Sementara itu, Muhammad Huzaifah berkata, dia memasang hasrat untuk memperoleh keputusan semua A bagi mengikut jejak abangnya yang kini sedang meneruskan pengajian Sarjana Muda di Universiti Utara Malaysia.

Jelasnya, dia mula serius mengulangkaji pelajaran pada awal Januari lalu iaitu sebulan sebelum peperiksaan SPM bertulis dan sering bertukar pendapat dengan adiknya memandangkan mereka mengambil aliran yang sama.

Muhammad Huzaifah berbual bersama rakan-rakannya selepas mengambil keputusan SPM hari ini.

“Saya mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam untuk mengulangkaji mata pelajaran selain memberi fokus dalam sepak takraw serta olahraga yang disertai di sekolah.

“Saya bercita-cita menjadi akauntan untuk membalas segala pengorbanan ibu dalam membesarkan serta menguruskan kami tiga beradik serta ayah yang menghidap parkinson.

“Hanya dengan mengecapi kejayaan dalam akademik serta mendalami ilmu agama satu-satunya cara mengembirakan ibu saya dan InsyaAllah itu akan dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Abdul Said Hussain berkata, seramai  755 daripada 17,237 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.

Katanya, peratus pencapaian layak sijil bagi tahun ini adalah 92.64 peratus iaitu peningkatan sebanyak 2.43 peratus berbanding 90.21 pada 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast