Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) membuka permohonan pinjaman pelajaran kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin menyambung pengajian bermula hari ini.

Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permohonan itu dibuka kepada mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara terpilih.

“Maklumat lanjut mengenai program Pembangunan Bakat Muda (YTP) lepasan SPM 2023 boleh didapati di laman sesawang Mara.

“Permohonan secara dalam talian dibuka bermula hari ini iaitu 27 Mei hingga 10 Jun depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Syarat kelayakan yang ditetapkan adalah pemohon atau salah seorang ibu atau bapa bertaraf Bumiputera serta warganegara Malaysia.

Pemohon berusia tidak melebihi 20 tahun pada 31 Disember ini dan tidak menerima sebarang tajaan atau bantuan kewangan agensi bagi peringkat pengajian sama.

Seramai 11,713 daripada 373,525 calon SPM memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memaklumkan, secara keseluruhannya pencapaian calon SPM 2023 lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.-MalaysiaGazette