Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan (dua kiri) menunjukkan buku Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan pada Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MEI 2024.

Oleh: Dr Abd Razak Zakaria

PENGUMUMAN keputusan rasmi Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bahawa pencapaian keputusan SPM 2024 lebih unggul dengan merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada tahun 2023. Sebanyak 93.5 peratus atau 349,297 daripada 373,525 calon layak mendapat sijil SPM 2024. Namun, di sebalik keunggulan yang dicanang, terdapat 10,000 calon tidak hadir
menduduki peperiksaan dan 24,228 orang calon masih gagal mendapat sijil SPM.

Sememangnya menjadi sesuatu yang membanggakan kepada mana-mana pihak terhadap pencapaian yang memberangsangkan setiap tahun. Namun di sebalik kegembiraan itu, ada kekhilafan yang perlu ditangani segera oleh pihak yang berwajib, kerana ianya akan memberi kesan jangka panjang yang tidak terjangkau oleh kotak fikiran kita.

Mengapa begitu ramai calon SPM tidak hadir untuk menduduki peperiksaan? Apa masalah yang menjadi penyebab kepada kegagalan mereka untuk menduduki peperiksaan awam sepenting itu yang bakal mencorak masa depan mereka? Apa tindakan yang sepatutnya diambil oleh pihak Kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani kemelut ini?

Permasalahan yang terus muncul setiap tahun adalah kegagalan calon untuk mendapat sijil dalam peperiksaan awam SPM. Adakah kita tidak cuba untuk memikirkan satu langkah yang perlu bagi mengatasi masalah ini? Hampir setiap tahun puluhan ribu calon gagal dalam dua subjek teras Bahasa Malaysia dan Sejarah bagi mendapatkan sijil. Seolah-olah setiap tahun terus berulang keputusan yang sama tanpa ada perubahan yang dapat mengurangkan jumlah kegagalan itu. Apa tindakan yang seharusnya dilakukan di peringkat KPM bagi memastikan keadaan ini tidak terus berlanjutan?

Selepas negara kita merdeka, misi utama pendidikan adalah untuk mengurangkan kadar buta huruf yang tinggi di dalam negara kita kesan daripada pendudukan British yang hanya memberikan pendidikan secara ala kadar kepada penduduk Tanah Melayu. Misi ini
berterusan sehingga penghujung abad ke-20. Namun, abad ke-21 menjanjikan ruang pendidikan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

Sepatutnya rakyat Malaysia lebih mengejar pendidikan dan menjadikan pendidikan sebagai alat untuk memacu masa depan yang lebih baik. Justeru, kita harus memandang kemelut pelajar gagal mendapat sijil dan tidak mempunyai sijil SPM sebagai satu masalah yang patut ditangani segera kerana keperluan untuk mendapatkan pekerjaan adalah pengetahuan dan kemahiran.

Apa yang dilihat terhadap majoriti remaja sekarang, mereka nampaknya tidak peduli tentang masa depan. Ini kerana mereka merasakan kehidupan yang sudah terlalu selesa dengan apa yang mereka ada sedangkan jika mereka berjaya mendapat sijil SPM, laluan kerjaya dan masa depan mereka lebih berkualiti dan bermakna. Lebih memeranjatkan, ada juga remaja yang merasakan mereka boleh berjaya dalam hidup walaupun tanpa sijil SPM.

Tambahan pula terpengaruh dengan kata-kata pempengaruh yang berjaya dalam hidup tanpa sijil SPM yang cemerlang. Justeru, mereka merasakan pendidikan yang diberikan di sekolah belum tentu menjamin kehidupan mereka dan ditambah lagi dengan keadaan keluarga yang tidak menyokong untuk mereka terus belajar bagi mendapatkan sijil.

Janganlah kita terlalu berbangga dengan apa yang kita ada sekarang kerana ia tidak menggambarkan kualiti sebenar pendidikan di negara kita. Jika benar keputusan SPM yang diwartakan menunjukkan peningkatan yang baik, adakah kita telah mencapai tahap pendidikan yang baik dalam semua keadaan? Subjek Moral yang menunjukkan peningkatan paling tinggi contohnya, apakah telah menunjukkan murid-murid yang dilahirkan di sekolah mempunyai nilai moral yang tinggi?

Begitu juga dengan subjek STEM yang diwar-warkan meningkat peratusannya dan mempunyai GPN yang lebih baik berbanding tahun 2023. Jika itu keputusannya, pastinya kita tidak ada masalah dalam STEM dan PISA dan mampu bersaing dengan negara tetangga lain yang lebih jauh ke hadapan. Namun, ini tidak juga berlaku sebaliknya laporan daripada Bank Dunia baru-baru ini tentang kualiti pendidikan di negara kita masih lagi rendah berbanding Singapura dan Vietnam. Justeru, apa kebanggaan yang kita boleh canang di mata dunia tentang pendidikan di negara kita? Dan atas tiket apa keputusan SPM yang semakin baik tetapi tidak mengubah keputusan kita dalam STEM dan PISA?

Terpanggil dengan keputusan SPM yang menunjukkan prestasi yang terus meningkat, kita harus sama-sama bertindak bagi mengatasi masalah calon yang gagal mendapatkan sijil setiap tahun. Kecemerlangan pelajar dalam mendapatkan jumlah A yang banyak dalam semua subjek akan menjadi lebih bermakna sekiranya jumlah pelajar yang tidak hadir bagi menduduki SPM dan jumlah pelajar yang gagal mendapat sijil SPM juga dapat dikurangkan. Kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya menjadikan situasi ini sebagai batu loncatan untuk menjadikan pendidikan di negara kita lebih baik.

Bayangkan para pelajar menghabiskan masa 12.5 tahun di sekolah dan di hujungnya mereka tidak ada satu sijil pun untuk dibanggakan, seolah-olah mereka tidak pernah ke sekolah selama ini. Pendidikan untuk semua rakyat Malaysia seharusnya dijadikan matlamat utama Kerajaan bagi melahirkan masyarakat berpendidikan, dalam memacu negara ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang pernah diwar-warkan suatu Ketika dahulu. Fikir-fikirkanlah untuk kebaikan kita bersama.

Penulis merupakan Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast