KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang lumpuh dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Sentul, di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Khaw Kok Chin berkata, pemeriksaan di kediaman tersebut membawa kepada penemuan dan rampasan 13 balang mengandungi serbuk methylene dioxy-methamphetamine (MDMA) serta 499 pek plastik hijau berisi serbuk jus MDMA seberat 213.4 kilogram.
Tambah beliau, nilai rampasan serbuk jus MDMA itu dianggarkan bernilai RM33.65 juta dan setiap kilogram berharga RM167,000.
“Dadah tersebut disyaki untuk pasaran di sekitar Lembah Klang mensasarkan pusat-pusat hiburan dengan setiap paket itu dijual pada kadar RM300 hingga RM600 kepada pelanggan,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), di sini, hari.
Menurut Kok Chin, siasatan mendapati sindiket itu menyewa kondominium dengan kawalan keselamatan pada kadar RM2,000 sebulan untuk menyimpan dadah dan dua suspek berkenaan berperanan sebagai runner dan pembungkus bahan terlarang itu upah sebanyak RM3,000 seorang.
Katanya, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu negatif dadah, namun masing-masing memiliki 10 rekod kesalahan lampau bersabit dadah dan jenayah.
“Sindiket itu didapati beroperasi secara aktif dalam pembungkusan dan pengedaran serbuk jus dadah MDMA berkenaan mensasarkan pusat hiburan di Lembah Klang sejak awal Januari tahun ini,” ujarnya.
Kok Chin berkata, kini pihaknya sedang menyiasat dalang sindiket tersebut dan sumber bekalan dadah diperolehi.
Beliau berkata,kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette