Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor.

KEHANGATAN isu cadangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka kepada kaum bukan bumiputera sekarang mengingatkan penulis kepada satu peristiwa lama.

Sekitar awal 2000-an, kalau tidak salah, ada satu insiden berkaitan perkara yang sama.

Kami wartawan Biro Klang (Selangor) ketika itu membuat liputan satu acara sebelah malam di UiTM Shah Alam.

Seperti biasa, kami diberi teks ucapan wakil UiTM lebih awal dan ada salah satu paranya ada kenyataan yang melemparkan idea sudah tiba masa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu membuka pintu kepada bukan bumiputera.

Kami cuba mendapatkan kesahihan dari pihak perhubungan awam UiTM berkali-kali mengenainya.

Nasib baik ketika berucap wakil UiTM itu tidak membaca para dalam kenyataan itu.

Jadi ia tidak menjadi isu berpanjangan dan wakil media pun tidak membuat susulan selepas itu.

Jadi, pertelagahan yang kembali kali ini membawa memori itu semula.

Jika berita berkenaan dibaca dan esoknya disiarkan media – sudah pasti ia menjadi isu panas walaupun ketika itu media sosial belum ada.

Pada masa itu, memang ada permintaan sesetengah pihak yang mahu UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.

Ini kerana pelajar bukan bumiputera ketika itu banyak bergantung kepada IPTA bukan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tumbuh bak cendawan selepas hujan pada masa ini.

Kali ini semuanya bermula dengan cadangan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di UiTM yang telah menimbulkan perdebatan dan bantahan.

Awal bulan ini, Persatuan Perubatan Malaysia merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang tersebut.

Walaupun cadangan membuka kepada kaum bukan bumiputera itu dinafikan oleh pengurusan IPTA berkenaan dan Kementerian Pengajian Tinggi namun ia terus diperdebatkan.

Selang seli pula dengan pandangan dan tajuk artikel seorang kolumnis mengaitkan aparteid sehingga banyak laporan polis dibuat.

Ia memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membawa isu yang sama ke mesyuarat Kabinet.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Pimpinan Pelajar UiTM menganjurkan bantahan kepada sebarang usaha untuk membuka pengambilan pelajar dalam kalangan bukan Melayu dan bumiputera.

Sebenarnya membangkitkan soal UiTM dibuka kepada pelajar bukan Melayu atau bumiputera seperti menjolok sarang tebuan.

Ini kerana ia ada kaitan dengan hak orang Melayu dan termaktub dalam Perlembagaan termasuk dalam perlembagaan IPTA itu sendiri.

Bagaimanapun kita harus akur mungkin dengan perubahan politik, minda masyarakat Melayu dan tuntutan lebih perlu, satu hari nanti ia berubah.

Apa pun, UiTM sudah terbukti sudah berjaya melahirkan ribuan teknorat, ilmuan dan cerdik pandai dalam kalangan orang Melayu.

Rekod itu perlu diteruskan. – MalaysiaGazette