Majlis pelancaran program HerLead anjuran Wanita DAP di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Wanita DAP membidas bekas pemimpin parti itu, P. Ramasamy yang mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletak jawatan berhubung isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat suaminya.

Ketuanya, Teo Nie Ching berkata, tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang selama 15 tahun itu jelas menunjukkan sikap berpura-puranya selepas keluar DAP.

Jelas Ahli Parlimen Kulai itu, ini kerana Ramasamy tidak melakukan perkara sama apabila bekas Setiausaha Agung yang kini menjadi Pengerusi DAP apabila didakwa di mahkamah.

“Saya rasa kalau hendak respons kepada Prof Ramasamy, apa saya hendak bangkitkan kepada beliau adalah bukan seorang sahaja kerana dalam DAP ketika ini, pengerusi kami telah didakwa di mahkamah.

“Tetapi apabila ada satu kes dibawa ke mahkamah dan masa itu Setiausaha Agung DAP dan sekarang telah jadi pengerusi, adakah Ramasamy ketika itu meminta Lim Guan Eng (LGE) meletak jawatan dan kenapa dia tukar pendirian sekarang.

“Adakah kerana LGE ketika Setiausaha Agung dan Ramasamy tidak mahu serang dia? Atau pun masa itu dalam DAP tidak boleh serang dan kini apabila sudah keluar DAP, dia hendak jadi malaikat?

“Saya rasa persoalan itu tidak adil terhadap Hannah, sekiranya siasatan yang dijalankan membuktikan ada salah guna kuasa, saya percaya beliau akan sedia terima di peringkat sama untuk disiasat dan sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa tetapi sama ada Hannah perlu letak jawatan, adalah terlalu awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program HerLead anjuran Wanita DAP di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan Ramasamy yang menggesa Hannah yang juga Ahli Jawatankuasa Wanita atau suaminya harus meletak jawatan masing-masing.

“Supaya tidak dimalukan, sama ada Yeoh mesti meletak jawatan sebagai menteri atau Ramachandran mengundur diri daripada syarikat itu,” kata Ramasamy.

Tambah Ramasany, apa yang menjadi perhatian ialah bukan sahaja kaitan politik Pakatan Harapan, tetapi kontrak itu juga diberikan tanpa melalui proses tender terbuka seperti yang selalu diperjuangkan gabungan itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes membabitkan pemberian kontrak Projek DRT oleh

Beliau berkata, jika ada laporan yang dibuat, maka biar pihak berkuasa lakukan siasatan.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah iaitu Ramachandran Muniandy.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tidak mengesan sebarang percanggahan kepentingan dalam pemberian kontrak DRT oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata berdasarkan pemerhatiannya dalam pemberitaan di media, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast