Polis berjaya mematahkan sindiket mencuri dan memotong kabel milik Telekom Malaysia di Benta dan merampas 286 kabel yang telah dipotong kecil dalam tangkapan terhadap dua suspek pada malam tadi

LIPIS – Dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun diberkas polis malam semalam  kerana disyaki melakukan kesalahan curi kabel milik syarikat Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, suspek  ditahan pukul 10 malam telah mengaku mencuri kabel berkenaan.

”Dalam serbuan yang dijalankan, polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Saga warna kelabu bersama serangkai anak kunci kereta, satu unit pemotong besi dan 286 batang kabel yang telah dipotong.

”Suspek telah memotong kabel kepada bahagian yang lebih kecil bagi memudahkannya untuk diproses,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, anggaran kerugian lebih kurang RM15,000  bagi kabel jenis 400 PR sepanjang 250 meter yang telah dicuri dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette