Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Hari ini pasukan pendakwaan kes berprofil tinggi prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menutup kes selepas lebih enam tahun perbicaraan.

Perbicaraan kes skandal penyelewengan dana RM2.3 bilion itu bermula pada 28 Ogos 2019 dengan Datuk Collin Lawrence Sequerah menjadi hakim bicara.

Untuk makluman, kes yang mendakwa Najib itu telah juga telah berlangsung selama 235 hari dengan 50 orang saksi memberikan keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah pihaknya menutup kes itu hari ini.

”Kita sudah selesai dan sudah tidak ada lagi saksi untuk dipanggil untuk memberikan keterangan, dengan ini kita tutup kes ini setelah perbicaraan berlangsung selama 235 hari Yang Arif,” katanya.

Hakim kemudian mengarahkan kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan bertulis pada 26 Julai dan hujahan balasan masing-masing pada 9 Ogos ini.

Diikuti hujah lisan pada 19 hingga 22 Ogos sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Najib daripada pertuduhan ini atau memerintahkannya membela diri.

Ketika ini Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette