Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

SEPANG – Polis menahan pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam perbuatan menampal pelekat bendera Israel di sebuah francais restoran makanan segera, KFC di Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua dua suspek berusia 20-an itu telah ditahan awal pagi tadi.

“Kita juga menerusi pemeriksaan lanjut ke atas pasangan warga tempatan itu berjaya melakukan rampasan sebuah kereta yang dipercayai digunakan mereka.

“Kita menerima laporan polis semalam tentang insiden itu dan siasatan awal mendapati pasangan itu disyaki menampal pelekat bendera Israel di salah satu premis KFC di daerah Kajang.

“Pasangan itu ditangkap awal pagi tadi dan direman selama sehari untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Pengurusan Lapangan Terbang Terminal 1 KLIA di sini petang tadi.

Tambah Hussein, pasangan itu kini ditahan reman selama sehari untuk disiasat di Bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan perbuatan khianat.

Jika disabitkan kesalahan, pasangan itu boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali di Bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan penjara maksimum maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya untuk sabitan di Bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu juga telah diuji positif dadah menerusi hasil ujian air kencing.

“Oleh demikian kita juga akan membuka dan siasat pasangan di Bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Hussein dalam satu lagi perkembangan lain berkata, sejak 28 hingga 30 Mei ini, polis mengesan sebanyak tujuh kes conteng boikot beberapa premis francais ekoran isu semasa di Palestin.

Empat kes telah diterima di Sungai Buloh manakala dua lagi kes dikesan di daerah Petaling Jaya.

“Di Sungai Buloh dan Petaling Jaya siasatan polis mendapati suspek menconteng premis KFC dan McDonalds serta Subway dengan perkataan jelik.

“Dalam kes di Sungai Buloh dan Petaling Jaya, kami mengesyaki pelakunya adalah orang sama memandangkan corak tulisan conteng itu serupa dan setakat ini belum ada tangkapan tetapi kita akan siasat juga sama ada ia berkait dengan pasangan suami isteri yang ditahan dalam insiden di Kajang.

“Kami memberi amaran kepada pihak di luar agar tidak bersikap fanatik dan bertindak membelakangkan undang-undang sehingga menganggu gugat ketenteraman dan keamanan awam,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette